Sebenarnya kegiatan ringan atau sederhana, walaupun dilakukan selama 30 minit sehari boleh membawa manfaat. Aktiviti yang dimaksudkan termasuk berjalan kaki sambil bersiar-siar, naik tangga, berkebun, membersihkan laman, kerja rumah yang sederhana atau berat, menari dan senaman di rumah.
Senaman berbentuk aerobik yang lebih cergas seperti
berjalan pantas, berlari, berenang, berbasikal, luncur kasut roda dan lompat
tali pula merupakan cara terbaik untuk meningkatkan tahap kecergasan jantung
dan paru-paru.
Jika saya bersenam, bolehkah saya mencegah sakit jantung?
Tidak bersenam, seperti juga merokok, tekanan darah tinggi dan kolesterol darah yang tinggi, merupakan salah satu daripada faktor risiko utama sakit jantung yang boleh diubah.
Patutkah saya berjumpa doktor sebelum mula melakukan kegiatan fizikal?
Mereka yang dalam lingkungan usia pertengahan dan lanjut yang tidak aktif dan menghadapi risiko sakit jantung yang tinggi (atau yang sudah mengalami masalah kesihatan) harus mendapatkan nasihat perubatan sebelum meningkatkan tahap kegiatan fizikal masing-masing dengan ketara.
Sebenarnya orang yang sihat, tanpa mengira usia, boleh
menjalankan kegiatan fizikal tahap sederhana. Contohnya berjalan kaki secara
sederhana, berkebun dan membersihkan laman tanpa perlu berjumpa doktor terlebih
dahulu.
Jika anda tidak aktif, apa jua bentuk dan kadar kegiatan fizikal lebih baik daripada bergoyang kaki sahaja! Kajian menunjukkan bahawa orang yang mempunyai tahap kecergasan rendah berkemungkinan besar meninggal dunia lebih awal berbanding mereka yang sederhana cergas.
Jika anda mahu meningkatkan lagi tahap kecergasan, anda
perlu bersenam 30 hingga 60 minit, kebanyakan hari dalam seminggu, pada kadar
50 - 80 peratus daripada keupayaan maksimum anda.
Perlukah saya melakukan senaman berat?
Untuk mencapai manfaat kesihatan, senaman berat tidak perlu. Kegiatan yang sederhana selalunya sudah memadai untuk mengurangkan risiko kesihatan.
Jika anda berhasrat mencapai tahap kecergasan
kardiovaskular yang tinggi, anda perlu meningkatkan kadar senaman secara
beransur-ansur dan bersenam kebanyakan hari dalam seminggu, selama 30 - 60
minit pada 50 - 80 peratus daripada keupayaan maksimum anda.
Adakah senaman
meringankan kesan berbahaya faktor risiko lain?
Kajian menunjukkan bahawa kecergasan fizikal mengurangkan
risiko sakit jantung walaupun di kalangan orang yang mengalami masalah
kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi dan kolesterol darah tinggi.
Untuk mengurangkan risiko, anda seharusnya bergiat cergas
dan mengelakkan faktor risiko lain yang boleh diubah, seperti asap rokok,
tekanan darah tinggi, tahap kolesterol darah tinggi dan berat badan berlebihan.
Bagaimana untuk
menjaga kecergasan fizikal anak-anak saya?
Anda boleh menjadi teladan yang baik kepada mereka dengan melakukan kegiatan yang sihat untuk jantung. Hadkan aktiviti yang banyak duduk seperti menonton televisyen, video, dan permainan komputer kepada tidak lebih daripada dua jam sehari.
Lakukan kegiatan aktif semasa bercuti atau keluar
bersiar-siar bersama keluarga atau sertai acara larian bersama mereka. Galakkan
mereka melakukan kerja-kerja di rumah (potong rumput, sapu daun, berus lantai
dan lain- lain) yang memerlukan pergerakan fizikal.
Cuba perhatikan sama ada anak anda berminat bersukan,
kemudian galakkan perkembangan fizikal mereka dengan menghantar mereka
menjalani latihan atau menyertai acara sukan.
Senaman baik
untuk jantung!
Semua orang sedar betapa pentingnya senaman untuk menjaga
kesihatan jantung tetapi tidak melakukannya kerana tidak tahu tentang
manfaatnya. Berikut adalah beberapa faedah bersenam untuk jantung:
* Memperbaiki tahap kolesterol darah
* Mencegah dan menguruskan tekanan darah tinggi
* Meningkatkan tenaga
* Membantu mengurangkan tekanan
* Mengurangkan ketegangan
* Melegakan kebimbangan dan kemurungan dan menaikkan minat dan semangat
* Mengurangkan risiko sakit jantung dengan meningkatkan aliran darah di seluruh badan
* Mengawal berat badan
* Memupuk amalan yang menyihatkan jantung di kalangan
kanak-kanak dan mengurangkan masalah yang menyebabkan sakit jantung dan strok
(kegemukan, tekanan darah tinggi, kandungan kolesterol tinggi, amalan gaya
hidup kurang baik dan sebagainya) apabila usia lanjut
* Di kalangan orang yang lebih tua, ia membantu mencegah
atau mengelakkan penyakit kronik dan penyakit yang dikaitkan dengan proses
penuaan dan mengekalkan kualiti kehidupan dan kemampuan untuk berdikari.
Arus pemodenan telah menjadikan kehidupan kita lebih mudah dan selesa. Pernahkah anda tertanya mengapa moyang dan datuk nenek kita hidup lebih lama daripada anak-anak kita hari ini.
Kalau tak nak Komen, Sila la LIKE kalau suka
No comments:
Post a Comment